Saturday, April 25, 2009

TAQARRUB KEPADA ALLAH FAKTOR UTAMA KEJAYAAN


DAN tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang) selain daripada berdoa dengan berkata:

“Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau-lampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (Ali Imran: 147)

Faktor utama kejayaan dalam sesuatu pekerjaan khususnya perjuangan pada jalan Allah s.w.t. ialah hubungan yang kuat lagi erat dengan Allah s.w.t. (taqarrub). Sikap terlalu bergantung kepada persediaan fizikal dan mental dengan mengabaikan hubungan rohani dan ketergantungan kepada Allah s.w.t. akan hanya membawa kepada kegagalan, kekalahan dan kekecewaan. Justeru aspek doa dan tawakal perlu dimasukkan dan dirangkumkan dalam erti kata persediaan dan usaha yang sebenar.

Selain berdoa kepada Allah agar membantu bagi menjayakan sesuatu perancangan atau pekerjaan, kita juga diingatkan supaya bertaubat dan memohon ampun daripada Allah atas segala dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan. Ini penting agar dosa atau maksiat kita yang lalu tidak menjadi hijab untuk diperkenankan doa kita, juga disarankan oleh Islam untuk berdoa agar ditetapkan pendirian dan keimanan di sepanjang tempoh pekerjaan atau perjuangan.

Ini memandangkan pelbagai halangan, cabaran dan ujian yang bakal diterima boleh menggugat dan menjejaskan tahap kesabaran dan pendirian. Oleh itu kebergantungan manusia kepada Allah s.w.t. tidak boleh putus atau berbentuk separuh jalan. Yang penting manusia perlu sedar bahawa mereka mesti bergantung hanya kepada Allah s.w.t. pada setiap masa dan keadaan.

Taqarrub kepada Allah adalah faktor utama kejayaan sesuatu pekerjaan atau perjuangan. Dosa boleh menjadi hijab kepada mencapai kejayaan. Kita tidak boleh mengabaikan aspek doa dan tawakal dalam setiap pekerjaan, perancangan dan perjuangan.

No comments: